Sunday 31 July 2011

Program Sepakat Komuniti 1 Malaysia Parlimen Kepala Batas Di Kg Air Melintas Besar Tasek Gelugor telah diadakan pada 23/07/2011 dimana program ini rasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Haji Abdullah Ahmad Badawi. Perbadanan Perpustakaan Awam turut sama menjayakan program tersebut dengan melibatkan 6 buah PD iaitu PD Tok Bedu PD Pinang Tunggal, PD Lahar Minyak, PD Permatang Tinggi A, PD Kubang Menerong dan PD Penanti  bersama dengan Jabatan Penjara dari Penjara Jawi, Jabatan Alam Sekitar, Hospital Kepala Batas, Polis, AADK, Jabatan Penerangan dan juga agensi dari pihak swasta.Program ini juga menggabungkan beberapa buah kampung dan ianya bertujuan merapatkan siratulrahim dikalangan penduduk sekitarnya. Banyak aktiviti yang dijalankan seperti pertandingan memasak, mewarna, pameran agensi kerajaan dan swasta, senamrobik, sukaneka dan cabutan bertuah.




Saturday 30 July 2011

Membaca Jambatan Ilmu

Dalam arus kemajuan dan perkembangan era teknologi maklumat (TM), dunia buku dan budaya membaca kian terpinggir. Masyarakat hari ini mempunyai cara yang lebih mudah, selain membaca buku untuk mendapatkan maklumat, antaranya melalui internet, e-mel, CD-ROM, dan sebagainya. Perkembangan ini juga menukar budaya membaca di perpustakaan dengan tersedianya kemudahan komputer dan internet. Pengunjung perpustakaan lebih berminat untuk “berkomunikasi” dengan komputer melalui internet berbanding dengan mencari buku buku sebagaimana sebelumnya.
Lebih menyedihkan lagi, pengiktirafan pihak berwewenang dengan mewartakan “bulan membaca” seakan-akan tidak diterima pakai lagi oleh masyarakat hari ini, khususnya golongan remaja dan belia. Perubahan sikap dan kesan kemajuan sistem maklumat memaksa pihak berkenaan menyeru dan berkempen untuk menarik masyarakat supaya mencintai dan menjadikan budaya membaca sebagai amalan harian. Dalam zaman perubahan, pengusaha industri buku “terpaksa” memikirkan cara mereka menghasilkan buku dan menjualnya. Perubahan ini mungkin memaksa penerbit-penerbit buku memindahkan kandungan buku ke dalam bentuk CD dan CD-ROM. Sudah pasti bentuk tersebut lebih mendapat perhatian masyarakat pencari maklumat berbanding dengan buku-buku yang dicetak di atas kertas.

Pada umumnya, budaya buku bukanlah suatu yang wujud sejak manusia bermula. Kemajuan percetakan buku adalah budaya baharu yang hanya bermula kira-kira 150 tahun lalu yang melahirkan sistem persekolahan moden di Eropah. Jelas, setiap yang baharu akan berakhir. Budaya buku mungkin sudah pada penghujung zamannya dengan kemunculan budaya teknologi maklumat yang telah meresap hampir ke setiap ruang kehidupan moden hari ini.
Membaca di mana-mana sahaja
Sesungguhnya masyarakat hari ini berada dalam zaman peralihan dalam cara menerima dan menyebarkan maklumat. Maklumat yang sekian lama disebarkan dan digarap secara bercetak dalam bentuk buku kini mula diambil alih oleh internet dan peralatan teknologi elektronik yang semakin canggih. Persoalan mungkin timbul, mampukah kemajuan teknologi maklumat (TM) dan cara penyebaran maklumat bentuk baharu ini mengubah, membentuk, dan membudayakan masyarakat yang sebenarnya tidak berminat untuk membaca, atau menjadi pengguna kemudahan TM yang akrab?

 Kalaulah budaya mendapatkan maklumat dan pengetahuan dengan penggunaan TM meresapi jiwa setiap lapisan masyarakat, masyarakat Malaysia pasti akan menjadi bangsa yang termaju di dunia.
Sebenarnya sikap masyarakat negara ini yang kurang berminat terhadap kebiasaan membaca atau mencari maklumat merupakan salah satu kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Melalui sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, pelajar diajar secara langsung tentang aspek menulis, membaca, mengira, menghafal, atau mengingat apa-apa yang telah dibaca untuk dikemukakan semula sewaktu peperiksaan.

Hasilnya, para pelajar hanya membaca dan menghafal fakta-fakta penting untuk lulus dalam peperiksaan. Lazimnya, pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan akan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang. Namun, yang nyata pelajar yang diiktiraf sebagai cemerlang itu belum tentu akan menjadi manusia yang mengamalkan budaya membaca sebagai rutin kehidupan. Mereka hanya rajin menghafal buku-buku pelajaran dan bukannya menjadi manusia yang dahagakan ilmu dan mencari maklumat tambahan melalui pembacaan daripada pelbagai media.

Hakikatnya, sistem peperiksaan yang berorientasikan peperiksaan telah menyumbang ke arah melahirkan manusia cemerlang yang tidak berminat membaca. Walau secanggih mana sekalipun sistem dan media maklumat dalam era TM, usaha untuk melahirkan masyarakat pencari maklumat yang tulen pasti akan menemui jalan buntu.

Oleh sebab itu, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sahaja perlu difikirkan semula dengan membantu negara menghasilkan masyarakat yang bermaklumat, iaitu masyarakat yang terus berminat untuk belajar, membaca, mencari ilmu , dan meneroka maklumat baharu. Sewajarnya masyarakat berusaha mencungkil pelbagai maklumat selaras dengan kemajuan era teknologi maklumat hari ini.

Wednesday 18 May 2011

Pengenalan PD Tok Bedu

 Perpustakaan Desa Tok Bedu di buka pada tahun 2000 dirasmikan oleh Y.B Dato' Haji Yahaya bin Abdul

Hamid, Adun Pinang Tunggal pada 27 Februari 2000 bersamaan 22 Zulkaedah 1420. Perpustakaan

beralamat di Dewan Serbaguna Jln Pokok Machang

13300 Tasek Gelugor. Perpustakaan ini juga terletak berhampiran dengan Dewan JKKK dan Tadika Kemas. Di kawasan sekitarnya juga terdapat sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan Kg To' Bedu dan juga klinik kesihatan. Rata-rata penduduk disini bekerja dalam pelbagai sektor seperti sektor awam, swasta dan bekerja sendiri